Factor-faktor yang menyebabkan kes ragut.
Pada zaman era globalisasi ini,
terdapat banyak kejadian ragut yang semakin menjadi-jadi. Ini merupakan satu
jenayah yang amat mengejutkan buat masyarakat di Negara kita. Kekerapan jenayah ini membuktikan bahawa
ada sesuatu yang tidak betul dalam masyarakat kita dewasa ini. Media massa
menghuraikan pelbagai faktor yang mendorong kejadian ini bersama-sama langkah
untuk menanganinya tetapi jumlah kes ragut terus meningkat saban tahun. Oleh
itu, apakah punca-punca jenayah ini menular dengan begitu cepat?
Sebenarnya jenayah ragut ini menjadi
begitu menjadi-jadi ekoran sikap masyarakat itu sendiri yang tidak memberi
perhatian berat tentang aspek keselamatan mereka. Masih banyak individu dalam
masyarakat kita yang suka membawa wang yang banyak dalam dompet atau tas tangan
mereka dan ini menjadI sasaran peragut. Begitu juga dengan sikap kita yang
gagal mengambil langkah-langkah keselamatan apabila pulang dari pejabat
bersendirian, berjalan di lorong yang gelap, atau mudah percaya akan orang
asing menjadikan kita sasaran mudah peragut. Jadi, aspek keselamatan diri yang
kurang diberi perhatian telah menyebabkan ragut semakin menjadi satu kebiasaan
di negara ini pula.
Selain itu, kejadian ragut juga turut
diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang mengalami kegawatan
ekonomi yang begitu teruk. Terdapat banyak kilang dan syarikat di negara ini
yang terpaksa membuang pekerjanya kerana kekurangan permintaan terhadap produk
mereka dengan drastik. Ketidakupayaan pekerja yang dibuang kerja itu untuk
mencari kerja lain dalam masa yang terdekat telah menjurus mereka ke kancah
jenayah terutama apabila memikirkan makan minum anak isteri pula. Oleh itu, kes
ragut meningkat kerana banyak pekerja tidak mempunyai pekerjaan lalu beralih
menjadi peragut untuk menyelesaikan masalah mereka secara mudah.
Malah, masalah ini bertambah serius
kerana kegagalan pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan yang efektif.
Kekurangan kamera litar tertutup di kawasan-kawasan berisiko tinggi menyebabkan
masalah ini terus menjadi-jadi. Jika kerajaan memasang lebih banyak kamera
seperti ini sudah pasti penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak. Oleh
itu, kekurangan kamera litar tertutup telah menyebabkan masalah ini berterusan
terutama di kawasan sunyi dan ketika waktu malam.
Seterusnya, kemelut ini turut
ditimbulkan akibat kekurangan didikan keagamaan terutama terhadap generasi muda
kita. Amalan agama sudah makin dilupakan berdasarkan semakin moden sesebuah
masyarakat itu. Kekurangan aspek agama menyebabkan kurangnya ketahanan diri
seseorang untuk tidak melakukan jenayah. Sudah hilang rasa takut akan balasan
Tuhan jika melakukan kesalahan jenayah. Maka, ragut meningkat kerana masyarakat
kita sudah lupa akan agama mereka.
Akhirnya, semua pihak haruslah
berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah di Negara kita ini tanpa
perlu menuding jari mencari kesalahan pula. Sementara itu pihak kerajaan harus
mencari alternatif untuk menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan
ekonomi untuk memastikan jenayah ini tidak merebak. Kegagalan mengawal jenayah
ini mampu menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia. Mungkin
peribahasa ”sudah terantuk baru tengadah” memberikan kita satu pandangan supaya
bersedia sedia sebelum masalah itu berlaku.
No comments:
Post a Comment