Golongan gelandangan atau
dikenali juga sebagai "homeless" ialah individu yang tidak mempunyai
tempat tinggal yang tetap dan tempat berteduh yang tidak mencukupi untuk mereka
berteduh pada waktu malam. Selain itu, gelandangan juga merujuk kepada individu
yang menetap di kediaman yang sementara di mana kediaman tersebut disediakan
oleh organisasi tertentu sama ada awam atau swasta. Malaysia mempunyai Akta
Orang-orang Papa 1977 (Akta 183) yang diperuntukkan untuk menjaga dan
memulihkan individu yang papa serta mengawal kutu rayau yang terdapat di negara
ini. Berdasarkan akta tersebut, individu papa ini turut dikesan menjalankan
aktiviti mengemis di tempat awam. Hal ini mampu mengundang kebimbangan dalam
kalangan orang awam apabila terlalu ramai golongan yang mengemis dan
menyebabkan orang awam berasa kurang selesa dengan persekitaran mereka.
Golongan gelandangan ini kebanyakan mereka berusia dalam lingkungan 30 tahun ke
atas dan rata-rata mereka adalah kaum lelaki. Lebih membimbangkan apabila
semakin hari, bilangan gelandangan ini semakin bertambah dan ini boleh
mengakibatkan pemandangan yang buruk bagi para pelancong luar yang datang ke
Malaysia. Justeru, terdapat beberapa punca mengapa individu tersebut menjadi
gelandangan dan disertakan juga beberapa langkah menangani masalah ini.
Punca utama mereka
menjadi gelandangan adalah disebabkan pendapatan mereka yang rendah.
Berdasarkan kajian "Homeless in Malaysia: Policy Sheet", didapati
bahawa seramai 1/5 daripada golongan gelandangan ini memilih untuk bergelandang
disebabkan pendapatan yang mereka peroleh dalam sektor pekerjaan adalah rendah.
Masalah ini mengakibatkan mereka tidak mempunyai kewangan yang stabil untuk
menyara kehidupan mereka. Hal ini demikian kerana Dasar Gaji Minimum di
Semenanjung Malaysia adalah sebanyak RM900. Tambahan pula, kos sara hidup kini
semakin meningkat dan ini mengakibatkan mereka menjadi gelandangan kerana tidak
mampu untuk menyara hidup mereka dan keluarga. Kajian mendapati bilangan
golongan gelandangan di bandar adalah lebih tinggi berbanding di luar bandar.
Kesempitan hidup memaksa mereka menjadi begini.
Seterusnya, punca
yang mengakibatkan individu itu menjadi gelandangan adalah disebabkan oleh
penyakit kronik. Kajian mendapati bahawa sebanyak 15%-30% daripada golongan
tersebut menghidap penyakit kronik. Mereka tidak mempunyai kesedaran tentang
penyakit yang dihadapi mereka. Hal ini mengakibatkan keadaan mereka tidak
terurus. Bukan itu sahaja, 1/5 daripada mereka pula menghidap masalah mental.
Punca utama mereka mengalami masalah mental pula adalah disebabkan tekanan
hidup yang dilalui mereka seperti jatuh muflis dalam perniagaan. Lebih
memilukan apabila terdapat golongan ini yang dibuang keluarga kerana tidak
sanggup menjaga mereka yang mempunyai masalah mental. Selain itu, golongan
gelandangan ini juga terdiri daripada penagih dadah. Kebanyakan mereka berteduh
di kaki lima, bawah jambatan dan sebagainya. Sepatutnya, golongan seperti ini
harus diberi bantuan dari segi rawatan pemulihan supaya dapat memulihkan semula
keadaan kesihatan mereka agar mereka dapat melakukan aktiviti sosial seperti
masyarakat lain.
Antara
langkah untuk mengatasi masalah ini ialah membuka pusat perlindungan bagi
melindungi golongan tersebut. Melalui cara ini, golongan gelandangan akan
dilindungi serta dijaga kebajikan mereka. Hal ini demikian kerana, golongan ini
merupakan golongan yang tidak bernasib baik. Apabila wujudnya pusat
perlindungan tersebut, segala kebajikan mereka seperti makan minum, pakaian dan
kesihatan akan dijaga. Tidak semua gelandangan mempunyai kesihatan yang baik.
Justeru, mereka memerlukan penjagaan kesihatan yang rapi. Pusat penjagaan itu
akan menjadi rumah kedua mereka. Selain dapat memulihkan mereka, peratus
gelandangan yang terbiar di kota-kota besar dan tempat awam akan berkurangan.
Golongan seperti mereka harus diberi semangat semula agar mereka dapat dapat
membantu negara dalam memacu wawasan negara.
Selain itu,
langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah gelandangan ialah mengadakan
program keusahawanan dan sosial bagi golongan gelandangan. Kebanyakan mereka
tidak mempunyai peluang dalam sektor pekerjaan. Oleh itu, dengan adanya program
sebegini dapat menyuntik semangat baru untuk memulakan kehidupan baru mereka.
Melalaui program tersebut, mereka akan mendapat peluang untuk menceburi bidang
keusahawanan. Justeru, mereka dapat menyumbang kepada ekonomi negara selain
dapat menampung kehidupan mereka apabila terlibat secara serius dalam sektor
keusahawanan kelak. Bukan itu sahaja, penuntut pengajian tinggi juga boleh
menyumbangkan tenaga mereka seperti berkongsi pengetahuan bersama golongan ini
tentang bidang keusahawanan agar dapat membuka mata mereka agar tidak
mensia-siakan peluang yang hadir di depan mata mereka.
Kesimpulannya,
sebagai masyarakat mereka kita harus membantu organisasi-organisasi yang
terlibat dalam menangani masalah ini. Hal ini demikian kerana, sekiranya
masalah ini berlarutan akan mencemarkan industri pelancongan negara. Ini akan
menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara daripada berkembang dengan pesat. Langkah
yang bijak harus diambil dari sekarang supaya masalah ini tidak menjadi lebih
kritikal pada masa akan datang nanti.
No comments:
Post a Comment